SEBERANG PERAI – Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kaki kanan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang tersangkut pada lubang tandas dalam kejadian di Machang Bubok, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu yang berlaku di sebuah rumah pada pukul 4.47 petang.
“Ketika bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.05 petang, kaki kanan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun dilihat telah tersangkut di dalam lubang tandas.
“Kita melakukan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas sebelum kakinya dapat ditarik keluar pada pukul 5.26 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi itu dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam. – K! ONLINE