KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia ketika ini sedang menunjukkan tren peningkatan yang begitu ketara selepas harga komoditi itu didagangkan pada harga RM3,134 satu tan sejak semalam.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, harga tersebut telah melepasi paras RM3,000 satu tan berbanding paras terendahnya tahun ini, iaitu RM2,021.50 satu tan pada 12 Mei 2020.
Katanya, berdasarkan perbandingan angka sejak Mei itu, kenaikan terkini komoditi itu adalah sebanyak RM1,112.50 satu tan atau bersamaan 55 peratus.
“Peningkatan harga MSM ini didorong oleh faktor permintaan MSM global yang tinggi daripada pembeli utama termasuk India dan China.
“Permintaan MSM dari India dijangka terus meningkat bagi menambah bekalan stok minyak sayuran di pasaran domestiknya sebagai persiapan untuk Festival Diwali (Deepavali) pada bulan November ini,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Jazlan, permintaan MSM dari China juga dijangka terus meningkat menjelang Festival Pertengahan Musim Luruh dan Minggu Keemasan (Golden Week) bermula Oktober ini.
Selain itu katanya, pengukuhan harga minyak kacang soya (SBO) di U.S. Chicago Board of Trade (CBOT) dan di China’s Dalian Commodity Exchange turut menyumbang kenaikan harga MSM.
“Harga MSM juga dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak kacang soya kerana kedua-duanya bersaing di dalam pasaran minyak sayuran global.
“Peningkatan harga ini bukan sahaja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, malah ia turut memberi manfaat kepada pekebun dan pemain industri sawit di Malaysia yang mana sedang bergelut dengan sumber kewangan akibat daripada pandemik Covid-19 ketika ini,”katanya.
Justeru beliau berharap agar harga sawit terus kekal diparas melepasi RM3,000 satu tan demi kelangsungan industri sawit negara.-K! ONLINE.