PORTIMAO, Portugal – Jaguh Mercedes, Lewis Hamilton mendedahkan dia seolah-olah sedang bermimpi selepas meraih kemenangan bergaya pada Grand Prix (GP) Portugal sekali gus muncul sebagai pemenang Formula Satu (F1) terbanyak sepanjang zaman.
Kemenangan ke-92 Hamilton itu membolehkannya memintas rekod 16 tahun milik juara dunia F1 sebanyak tujuh kali, Michael Schumacher yang mencatatkan 91 kemenangan.
Kejayaan tersebut juga berjaya menjarakkan Hamilton dengan rakan sepasukannya, Valtteri Bottas dengan jurang 77 mata dalam perebutan kejuaraan dunia F1 musim ini.
Berbaki lima pusingan perlumbaan, Hamilton hanya menunggu masa untuk menyamai rekod Schumacher untuk menjulang tujuh kejuaraan dunia F1, selain meraih 100 petak pertama.
“Saya hanya mampu bermimpi untuk berada di tempat saya pada hari ini. Saya tidak mempunyai bola ajaib apabila memilih datang ke sini (Mercedes)
“Apa yang kami buat adalah memanfaatkan kerja keras setiap hari. Kami semua mendayung ke arah destinasi sama,” katanya selepas tamat perlumbaan sambil memeluk ayahnya, Anthony yang mengurus kariernya sejak awal.
“Saya mempunyai ayah yang luar biasa di sini dan juga ibu tiri, Linda. Jadi, ia adalah hari yang istimewa. Ini juga akan mengambil masa untuk memahaminya, tetapi saya akan tetap berusaha untuk terus mencapai kejayaan
“Malah sekarang, saya secara mentalnya masih dalam mod berlumba sehingga gagal mencari kata-kata sesuai bagi menggambarkan emosi saya pada masa ini. Mungkin akan muncul kemudian,” kata Hamilton.
Dalam perbualan radio pasukan, Hamilton yang nyata beremosi memberitahu Mercedes bahawa ia merupakan satu penghormatan bekerja dengan kamu semua dan dibalas oleh juruteranya, Peter ‘Bono’ Bonnington, “Ia juga sama di sini, satu penghormatan, benar-benar ikhlas.” – AGENSI