PERLUMBAAN Formula Satu (F1) Pro Series adalah kejohanan e-Sukan paling bernilai ketika ini apabila 10 pasukan rasmi F1 mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang menawarkan wang tunai keseluruhan bernilai AS$750,000 (RM3.12 juta).
Lebih menarik, kira-kira 237,000 peserta dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan untuk melayakkan diri ke kejohanan tersebut yang sudahpun membuka tirainya bulan ini.
Namun, hanya 30 peserta daripada 10 pasukan terpilih dalam senarai akhir pertandingan dengan dua pelumba akan disenaraikan mewakili skuad masing-masing dalam saingan yang membabitkan keseluruhan 12 pusingan perlumbaan.
Antara pasukan bertanding adalah Haas F1 Team Esports, Racing Esports Team, McLaren Shadow, Mercedes-AMG Esports, Red Bull Racing Esports, Renault Vitality, Alfa Romeo F1 Esports, AlphaTauri Esports Team, Williams Esports dan Ferrari Driver Academy.
Bagaimanapun, para peserta terpaksa bertanding secara online di kediaman masing-masing disebabkan penularan wabak pandemik Covid-19 yang sepatutnya menyaksikan kejohanan itu berlangsung di bandar Londa, India.
Ketua Inisiatif Perniagaan Digital & Esports Formula 1, Julian Tan berkata, pihaknya yakin saingan tahun ini menyajikan persaingan yang lebih menarik memandangkan semua pasukan daripada perlumbaan sebenar F1 mengambil bahagian.
“Kami sangat gembira melihat Pro Series kembali dianjurkan. Bagaimanapun, serangan Covid-19 terpaksa menyaksikan penganjuran tahun ini dilakukan secara online berbanding edisi-edisi terdahulu.
“Perlumbaan pusingan pertama sangat mendebarkan dan menarik disaksikan oleh semua peminat kejohanan ini. Setakat ini, tiga perlumbaan telah berlangsung dengan penuh sengit dan kita boleh melihat podium penamat yang berbeza.
“Semua peserta dilihat bekerja keras dalam setiap perlumbaan dalam usaha mereka merebut hadiah keseluruhan berjumlah AS$750,000 (RM3.12 juta).
“Kami sudah tidak sabar untuk menyaksikan pusingan perlumbaan seterusnya,” katanya.
Perlumbaan Pro Series kini memasuki pusingan ketiga dengan pelumba daripada pasukan Alfa Romeo Racing, Jarno Opmeer mendahului saingan selepas berjaya meraih dua kemenangan setakat ini.
Pelumba dari Belanda berkenaan merekodkan kemenangan sewaktu perlumbaan pembukaan dalam talian itu di Bahrain dan kemudian berjaya meraih tempat ketiga di Hanoi, Vietnam sebelum melakukan kejutan muncul juara di Shanghai, China.
Hasil kemenangan tersebut, Opmeer kini mendahului saingan dengan kelebihan 24 mata.
Juara edisi 2019 daripada pasukan Red Bull Racing Esports, David Tonizza yang meraih kemenangan pada pusingan kedua di Hanoi kini menduduki tangga keenam keseluruhan dengan 25 mata selepas sekadar menamatkan perlumbaan pusingan pertama baru-baru ini pada tempat ke-20 di Bahrain.
Sebagai rekod, pasukan Alfa Romeo kini mendahului kejuaraan kategori pengeluar selepas mengumpul 98 mata, berkelebihan 29 mata ke atas pasukan Red Bull di tempat kedua.
Perlumbaan seterusnya iaitu pusingan keempat dan kelima di Litar Zandvoort, Belanda serta Litar Gilles Villeneuve di Montreal, Kanada bakal berlangsung dari 4 hingga 5 November ini.