Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
KLUANG – Dua lelaki dipercayai dalang kejadian ragut membabitkan wanita warga emas di Jalan Resak di sini 22 Oktober lalu dicekup polis di sebuah rumah di Jalan Larkin Perdana, Johor Bahru dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, suspek warga tempatan itu ditahan pada pukul 1.50 pagi hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek berusia 26 dan 28 tahun itu melarikan diri ke Johor Bharu selepas kejadian tersebut tular di media sosial.
“Kedua-dua tangkapan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penglibatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Hasil soal siasatan tangkapan mengaku terlibat dalam kes ragut terbabit dan telah melarikan diri ke Johor Bharu selepas kejadian tersebut tular di media sosial,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hang Seng berkata, suspek akan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu dan mengenalpasti penglibatan dalam kes ragut di daerah Kluang.
Beliau berkata, kes disiasat untuk tindakan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan tertuduh akan dihukum penjara sehingga dua puluh tahun dan sebatan.
Kosmo! Sabtu lalu melaporkan seorang wanita warga emas lebam lengan dan kaki manakala rantai leher perkahwinannya bernilai kira-kira RM11,000 lesap akibat diragut penjenayah di Jalan Resak di sini pada 22 Oktober.
Menurut mangsa, B. Nagamah, 76, sebelum kejadian, peragut yang menunggang motosikal dilihat berlegar-legar di hadapan rumahnya, namun dia tidak mengesyaki sesuatu yang buruk. – K! ONLINE