KOTA TINGGI – Masjid Al-Muttaqin Taman Kota Jaya di sini ditutup selama dua hari bagi tujuan pembersihan nyah kuman susulan salah seorang jemaahnya disahkan positif Covid-19 hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, arahan notis perintah tutup masjid itu dikeluarkan pukul 1 tengah hari tadi oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi.
Katanya, jemaah berusia 72 tahun itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Colombia Asia, Johor Bahru selepas mengalami sesak nafas pagi tadi.
Jelasnya hasil pemeriksaan serta ujian saringan kemudian mendapati lelaki berkenaan disahkan positif Covid – 19.
“Susulan itu pihak pengurusan Hospital Colombia Asia telah memaklum kepada PKD Kota Tinggi untuk tindakan lanjut manakala pesakit akan dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang untuk mendapatkan rawatan.
“Hasil siasatan awal PKD Kota Tinggi mendapati, pesakit merupakan jemaah Masjid Al-Muttaqin Taman Kota Jaya dan siasatan lanjut juga mendapati pesakit telah membuat pergerakan ke daerah Tangkak sebelum ini untuk urusan peribadi.
“Anak lelaki pesakit juga ada pulang dari Negeri Sembilan untuk melawat pesakit beberapa hari yang lalu di rumahnya,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hussin berkata, PKD Kota Tinggi juga akan mengeluarkan surat kuarantin di rumah kepada ahli keluarga pesakit.
Tambahnya siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca dan kluster sebenar pesakit dijangkiti wabak berkenaan.
“PKD Kota Tinggi juga dalam tindakan mengenal pasti para jemaah masjid berkenaan dan individu yang mempunyai hubungan kontak rapat dengan pesakit termasuk ahli keluarga pesakit.
“Kesemua yang mempunyai hubungan atau kontak rapat dengan pesakit termasuk ahli – ahli keluarga pesakit akan dipanggil untuk membuat ujian saringan esok pagi PKD Kota Tinggi,”katanya lagi.-K! ONLINE