Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
KUALA PILAH – Kehadiran lebih 100 ekor beruk dan kera bukan sahaja merosakkan pelbagai peralatan dan barangan di Masjid Kampung Parit Istana, Terachi di sini, malah turut meninggalkan kesan kotoran najis di ruang solat masjid itu.
Imam Satu masjid itu, Alias Meon, 67, berkata, pelbagai peralatan masjid seperti kerusi, pagar, pintu, wayar, pembesar suara, tingkap dan tandas telah dirosak dan dipecahkan oleh haiwan liar berkenaan sejak sekian lama.
“Hampir setiap hari kami perlu membersihkan dan mencuci masjid kerana haiwan ini meninggalkan kesan najis di ruang halaman solat di hadapan masjid. Jika ramai jemaah yang hadir, kami tidak membenarkan mereka bersolat di ruang luar kerana khuatir najis ada di mana-mana.
“Kami telah memaklumkan kepada pihak terlibat, namun tiada sebarang tindakan, malah makin banyak pula beruk dan kera yang datang dan meninggalkan najis di sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Alias menjelaskan, kehadiran haiwan tersebut semakin bertambah sekiranya ada pihak yang menyumbang pisang atau buah-buahan yang diletakkan di halaman masjid pada hari Jumaat.
“Apa yang merisaukan ialah kebersihan masjid. Adakalanya terdapat orang kenamaan yang lalu jalan Terachi untuk ke Istana Seri Menanti atau bermain golf di resort berdekatan dan singgah di masjid ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Alias berkata, musim buah-buahan seperti rambutan turut menarik lebih banyak beruk dan kera masuk ke kawasan masjid.
“Kami amat berharap masalah ini mendapat perhatian daripada pihak terlibat dan menyelesaikan hal ini dengan segera,” katanya.
Sementara itu, bendahari masjid, Abdul Rahman Abdullah berharap ada pihak yang menyumbang untuk membina pagar atau pintu bercermin bagi menutup ruang solat.
“Kos RM15,000 diperlukan untuk membina pagar bercermin. Jika mahu tunggu sumbangan jemaah mungkin memakan masa.
“Sejak pandemik Covid-19, hanya 60 jemaah yang datang bersolat di sini berbanding 100 jemaah sebelum ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Alias menerusi talian 011-1089 5077 atau menyumbang ke akaun Bank Islam Ahli Jawatankuasa Masjid Kariah Kampung Parit Istana Terachi bernombor 05030010105401.