JOHOR BAHRU – Setiap kali hujan, pasangan warga emas ini perlu bersengkang mata untuk menadah air yang membasahi rumah.
Itu keadaan yang perlu dihadapi Mohd. Modek Lakasek, 73, dan isterinya, Saenah Nikmat, 80, yang menetap di Kampung Sungai Pinggan, Benut, Pontian sejak 50 tahun lalu.
Mohd. Modek berkata, dia juga risau jika bumbung rumahnya itu akan diterbangkan angin apabila berlaku hujan disertai ribut.
“Setiap kali hujan turun, saya dan isteri akan menyediakan besen untuk menadah air hujan yang menitik masuk melalui bumbung yang bocor.
“Masalah paling teruk berlaku di bahagian depan rumah dan dapur. Apabila hujan kami juga tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang,” katanya selepas menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Volunteer Pasir Gudang, semalam.
Katanya, dinding kediaman itu juga tidak sempurna kerana berlaku tempias sekiranya air hujan ditiup angin kencang.
“Namun, saya tetap bersyukur kerana memiliki kediaman sendiri walaupun serba-serbi dalam keadaan daif,” tambahnya.
Pasangan tersebut merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan sementara Saenah merupakan pesakit kencing manis dan turut mempunyai masalah penglihatan.
Sementara itu, Presiden Volunteer Pasir Gudang, Nurul Ain Zakaria berkata, antara bantuan yang diperlukan pasangan terbabit termasuklah keperluan asas seperti keperluan makanan.
“Kami juga sedang mencari pihak yang mahu membantu membaik pulih kediaman pasangan ini bagi memberi mereka sedikit keselesaan,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan menghubungi Mohd. Modek di talian 019-3860164 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional miliknya iaitu 01122-41-00000961-5.