LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta meluahkan kekecewaan selepas jaringan penyerangnya, Alexandre Lacazette dibatalkan sewaktu tewas 0-1 kepada Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Gol tandukan Lacazette seawal minit keempat dibatalkan selepas pengadil perlawanan mendakwa pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka berada dalam kedudukan ofsaid dan menghalang penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel.
“Kami mendominasi babak pertama sehingga Leicester tidak dapat melakukan apa-apa. Kami menang semua bola, mencipta peluang dan menjaringkan gol tetapi saya tidak faham kenapa ia dibatalkan,” kata Arteta.
Bagaimanapun, Arteta mengakui, The Gunners perlu menyalahkan diri sendiri kerana mensia-siakan deretan peluang keemasan untuk menjaringkan gol sebelum Leicester yang melakukannya menerusi tandukan Jamie Vardy pada minit ke-80.
“Kami berdepan kesukaran untuk memecahkan benteng pertahanan mereka yang dikawal oleh 10 pemain. Saya enggan mencari alasan kerana kami ada peluang untuk menang tetapi ia tidak berlaku,” jelas Arteta.
Tugas Arteta kini lebih berat kerana beliau perlu memastikan strateginya sukar dibaca pihak lawan dan pada masa sama menyelesaikan masalah kreativiti yang dilihat amat ketara di bahagian tengah skuad bimbingannya.
Arsenal akan menghadapi Dundalk untuk aksi Liga Europa di Oriel Park, Ireland pada Jumaat ini sebelum menentang musuh tradisi, Manchester United dalam saingan EPL di Stadium Old Trafford tiga hari kemudian. – AGENSI