KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri mengesahkan lebih 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin, manakala sekurang-kurangnya 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kadar tinggi jangkitan dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membantutkan keupayaan dan kekuatan pasukan itu dalam penugasan menjaga keselamatan serta keamanan negara.
“Pasukan polis adalah petugas barisan hadapan berpotensi besar terdedah wabak itu kerana berada paling hampir dengan rakyat yang belum dipastikan tahap jangkitan.
“Penularan Covid-19 semakin membimbangkan dan ramai petugas barisan hadapan telah terdedah risiko jangkitan wabak itu. Walaupun memakai pelitup muka, penugasan anggota polis memerlukan mereka berkomunikasi secara dekat dengan rakyat.
“Penjarakan fizikal tidak dapat diaplikasikan dengan sempurna dalam menentukan keselamatan dan keamanan negara, ketika ini sumber dan kekuatan polis juga telah digunakan secara maksimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Hamzah berkata, ada anggota polis turut ditugaskan membantu pihak imigresen untuk menghalang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Menerusi Ops Benteng antara 1 Mei hingga 18 Oktober lalu, pasukan keselamatan telah menahan 497 PATI dan 28 tekong yang cuba memasuki dan keluar negara melalui Sarawak,” katanya.
“Rakyat Malaysia perlu menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan bersama-sama melawan wabak Covid-19 sebagaimana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.
Tambahnya, penghargaan tertinggi harus diberikan kepada PDRM kerana sejak penularan wabak itu, ramai dalam kalangan anggota polis telah berjuang tanpa menghiraukan penat lelah.
“Ramai juga antara mereka masih belum berehat atau meluangkan waktu bersama keluarga.
“Kita sedang ketandusan masa dan sekarang bukan waktu untuk berpolitik atau melobi sokongan terhadap individu tertentu menjadi Perdana Menteri,” katanya. – K! ONLINE