Pada minggu lalu, hampir sejuta pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan diwajibkan untuk bekerja dari rumah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan Lembah Klang.
Suasana bekerja dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sungguh berbeza dengan PKPB yang dilaksanakan pada ketika ini.
Menurut seorang rakan penulis, dia bergelut untuk bekerja dari rumah ketika ini apabila terpaksa bermesyuarat yang diadakan secara online setiap pagi, namun pada masa yang sama perlu menguruskan kelas pembelajaran online tiga anaknya.
“Dahulu semasa pelaksanaan PKP, anak-anak tiada kelas online. Ketika itu, kami ibu-ibu hanya sibuk memasak.
“Berbeza dengan situasi pada kali ini (PKPB), semua sibuk dengan kelas online dan mesyuarat, huru-hara jadinya pada setiap hari,” ceritanya.
Seorang lagi rakan penulis berkongsi cerita mengenai kesukaran yang dialami sepanjang PKPB yang dilaksanakan sejak 14 Oktober lalu apabila taska ditutup serta dia dan suami bekerja dari rumah.
“Suami saya akan mengunci pintu bilik bermula pada pukul 8 pagi hingga 6 petang kerana tidak mahu diganggu ketika bermesyuarat secara online.
“Jadi saya dengan anak-anak ‘berperang’ dengan kelas online. Memang sukar, saya hendak Zoom dengan bos lagi, anak-anak juga ada kelas online, namun pada masa sama perlu memasak,” katanya.
Paling lucu, ceritanya, salah seorang anaknya pernah menarik tudungnya semasa mesyuarat sedang berlangsung secara online kerana mahu susu.
Jelasnya, setiap hari keadaan menjadi kelam kabut dan penat berbanding bekerja di pejabat yang dilihat lebih tersusun jadualnya.
Seorang rakan yang bujang tidak kurang menarik ceritanya apabila dia berkongsi kisah terpaksa memenuhi permintaan ibunya untuk membeli kipas angin yang rosak.
“Semasa tengah bekerja dari rumah, kipas angin tiba-tiba rosak. Jadi kena pergi beli dan selepas itu dapat notis daripada majikan sebab tidak menyertai aktiviti online,” ceritanya.
Pelbagai ragam ini akan menjadi memori kita dalam berkeluarga, malah sama ada anda sedar atau tidak ia dapat mengeratkan hubungan dengan anak-anak bagi mereka yang sudah berkeluarga.
Memang penat itu tidak boleh dinafikan, tetapi memori itu tidak dapat dijual beli untuk diingati pada tahun-tahun mendatang.