fbpx

Polis Marin rampas rokok seludup RM2.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PASIR PUTEH – Pasukan Polis Marin ( PPM) Wilayah Tiga berjaya menumpaskan kegiatan kumpulan sindiket yang membawa masuk sebanyak 19,600 karton rokok seludup bernilai RM2.9 juta dalam serbuan di kawasan hutan bakau di Sungai Bukit Kluang dekat Besut pagi tadi.

Dalam serbuan pada pukul 5 pagi itu, PPM Wilayah Tiga turut merampas dua buah lori yang digunakan untuk membawa rokok-rokok berkenaan.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, serbuan dijalankan oleh anggota PPM sewaktu menjalankan Ops Benteng sebelum mendapat maklumat mengenai kegiatan penyeludupan di kawasan itu.

Menurutnya, sewaktu serbuan dijalankan, anggota PPM melihat kelibat beberapa orang dipercayai pemandu dan kelindan lori sedang memunggah barangan ke dalam kenderaan berat itu.

Katanya, kedua-dua lelaki itu bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau selepas menyedari kehadiran anggota PPM.

“Pemeriksaan terhadap kedua-dua lori telah menemui tiga jenis rokok iaitu jenis NYX Menthol sebanyak 5,100 karton, jenis NYX Filters (4,250 karton) dan John (10,250 karton).

“Sewaktu serbuan dijalankan, kita cuba mengesan pemandu dan kelindan lori itu yang telah melarikan diri kira-kira dua kilometer dari lokasi itu, namun usaha itu gagal,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal Polis Marin, Tok Bali di sini hari ini.

Menurut Norzaid, siasatan lanjut mendapati anggaran keseluruhan rampasan rokok dan dua buah kenderaan berat itu bernilai RM3.1 juta termasuk cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, berdasarkan siasatan, sindiket penyeludupan mengambil kesempatan untuk menjalankan kegiatan mereka ketika air laut pasang besar sebelum membawa masuk rokok-rokok itu melalui kawasan hutan bakau pada awal pagi.

“Rokok-rokok ini juga dipercayai akan dijual di negeri Pantai Barat dan Selatan negara kerana tiga rokok jenis itu tiada dijual di pasaran negeri ini.

“Rampasan ini merupakan kejayaan terbesar PPM Wilayah Tiga dalam membanteras kegiatan penyeludupan rokok pada tahun ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI