fbpx

Pemain perlu matang, profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

PELANTIKAN Ronald Koeman sebagai ketua jurulatih baharu Barcelona musim ini mewujudkan rasa kurang senang bagi Antoine Griezmann kerana bintang Perancis itu dipaksa beraksi bukan pada posisinya yang sebenar.

Griezmann, 29, secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap tindakan pengendali dari Belanda itu kerana sering ‘memeramnya’ dan lebih gemar menggunakan khidmat bintang muda berusia 17 tahun, Ansu Fati sebagai pemain sayap kiri Barcelona.

Lebih hangat, Koeman, 57, membidas kenyataan itu dan menegaskan beliau berhak memilih mana-mana pemain yang dirasakan sesuai dengan strategi dan taktikal permainannya.

Berkenaan isu ini, ia sepatutnya bukan masalah besar buat Griezmann kerana dia se­harusnya bijak dan matang me­nguruskan permasalahan itu ataupun memanfaatkan peluang tersebut dengan bermain di posisi baharu.

Walaupun berbeza, namun isu yang timbul di Barcelona itu sedikit sebanyak mengingatkan kepada situasi pemain dengan ketua jurulatih skuad hoki senior lelaki dan wanita negara sebelum perubahan dilakukan Konfe­derasi Hoki Malaysia (MHC) baru-baru ini.

Sebelum ini ada pemain ku­rang gembira, malah tidak mahu beraksi di bawah kendalian Roelant Oltmans.

Ada juga segelintir pemain menunjukkan reaksi dan panda­ngan berbeza selepas ketua juru­latih skuad senior wanita, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengesahkan beliau enggan memohon jawatannya semula bersama pasukan tersebut.

Justeru, MHC merasakan kehadiran Arul Selvaraj menggantikan Oltmans dan pelantikan Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim me­ngisi kekosongan ketua jurulatih skuad senior wanita secara tidak langsung mampu memenangkan hati semua pihak.

Timbalan Presiden MHC, Prof. Datuk Dr. S. Shamala berpendapat, semua pihak sama ada pemain atau jurulatih perlu mena­nam sikap profesionalisme dalam diri supaya setiap masalah dapat diselesaikan secara matang.

“Ini bukan soal keserasian antara pemain dengan jurulatih, tetapi bagaimana cara kemata­ngan mereka untuk mengendalikan permasalahan itu.

“Namun, apabila tidak bersetuju, mungkin dia akan tunjukkan dengan penurunan prestasi ataupun tidak datang latihan dan mungkin ambil cuti. Jurulatih pu­la ada pendapatnya yang ter­sendiri.

“Paling asas ialah pemain perlu bermain untuk negara kerana jurulatih akan silih berganti. Kita tak boleh merasakan diri lebih besar daripada sukan itu sendiri, sebaliknya berikan yang terbaik buat negara,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Psiko­logi Sukan, Institut Sukan Negara (ISN), Philip Lew berkongsi pandangan bahawa setiap atlet perlu mempunyai keinginan dan berbangga diberi penghormatan terpilih mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Selagi anda diberikan pe­luang untuk mewakili negara tidak ki­ra para pemain, jurulatih dan pegawai, perasaan itu pasti­nya berkobar-kobar mahu ber­usaha, berjuang dan menyumbang demi lencana di dada,” jelasnya.

Apa yang pasti, pelantikan Arul dan Nasihin pastinya tidak timbul permasalahan seperti yang terjadi di Barcelona kerana mereka berdua diketahui ramai sebagai antara individu digemari pemain hoki kebangsaan.

Bukan itu sahaja, mereka berdua juga mempunyai ca­ra tersendiri dan arif de­ngan budaya sukan Malaysia memandang­kan kedua-duanya pernah memegang jawatan ter­tinggi skuad hoki senior lelaki dan wanita suatu ketika dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI