PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 9.20 pagi tadi bagi mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet.
Bagaimanapun, tidak diketahui apa agenda mesyuarat pagi ini namun dipercayai bagi membincangkan titah mesyuarat oleh Majlis Raja-Raja Melayu petang semalam.
Selain itu, beberapa menteri Kabinet mula tiba untuk menghadiri mesyuarat khas itu kira-kira pukul 9.30 pagi termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.
Pada masa sama, beberapa pemimpin utama parti turut kelihatan memasuki Bangunan Perdana Putra termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.
Kedua-dua mereka dipercayai akan mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin pukul 9.30 pagi sebelum beliau mempengerusikan Mesyuarat Kabinet.
Muhyiddin dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan, Jemaah Menteri akan berbincang dengan lebih lanjut berhubung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam bahawa tiada keperluan untuk mengisytihar darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia buat masa ini.
Menurutnya, Jemaah Menteri mengambil maklum mengenai kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara itu dan keutamaan kerajaan pada masa ini ialah melindungi rakyat daripada wabak Covid-19.-K! ONLINE