fbpx

Menteri Kabinet ‘membisu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin keluar dari bangunan Perdana Putra pagi selepas selesai menghadiri mesyuarat Perdana Menteri bersama menteri kabinet di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Rata-rata menteri Kabinet yang ditemui di pekarangan luar Bangunan Perdana Putra di sini memilih untuk ‘membisu’ ketika disoal wartawan sejurus tamat mesyuarat khas Kabinet pagi tadi.

Kebanyakan menteri yang ditemui langsung tidak menurunkan tingkap kenderaan ketika didekati wartawan malah, ada segelintirnya hanya melambai dan melemparkan senyuman.

Lebih 40 pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar mula berkampung di luar bangunan itu sejak 9 pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Mesyuarat dipercayai bermula pukul 11.30 pagi dan berakhir pukul 2 petang.

Sementara itu, hanya Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang membuka tingkap untuk menyantuni wartawan.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab ketika ditanya mengenai intipati mesyuarat sebaliknya memaklumkan akan bergerak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

“Nak pergi lah ni, nak mula dah ni,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat berkenaan atau tidak.

Hishammuddin perlu berada dalam mesyuarat berkenaan selepas beliau dilantik sebagai Bendahari Agung BN beberapa hari lalu bagi menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Difahamkan, semua Ahli Parlimen BN dipanggil untuk menghadiri mesyuarat tergempar petang ini namun, butiran lanjut mengenai mesyuarat itu tidak didedahkan.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI