PELUMBA Petronas Sprinta Racing, John McPhee gagal menjelmakan podium pada Grand Prix (GP) Teruel perlumbaan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia selepas dipintas di pusingan terakhir sekali gus meraih kedudukan keenam semalam.
McPhee bekerja keras seawal perlumbaan dengan memintas seorang demi seorang pelumba sehingga berjaya menduduki kedudukan kedua meskipun memulakan saingan di Litar Motorland, Sepanyol itu pada petak ke-17.
Bagaimanapun, pelumba berusia 26 tahun itu melakukan kesilapan pada pusingan terakhir apabila dipintas Ayumu Sasaki dari pasukan Red Bull KTM Tech 3 yang berjaya menamatkan perlumbaan pada tempat kedua.
“Saya bangga kerana bukan mudah bermula di petak ke-17 dan kembali mengejar kelompok hadapan. Pada pusingan terakhir saya tidak bernasib baik selepas dipintas beberapa pelumba lain mengakibatkan saya mengakhiri perlumbaan ditempat keenam.
“Terima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang cukup baik sepanjang minggu ini,” kata pelumba dari Scotland itu.
Pelumba Sepanyol, Jaume Masia dari pasukan Leopard Racing muncul juara GP Teruel itu, manakala wakil pasukan Red Bull KTM Ajo, Kaito Toba menamatkan saingan pada kedudukan ketiga.
Sementara itu, rakan sepasukan McPhee, Khairul Idham Pawi dilihat terus berdepan masalah apabila hanya mampu menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-27.
Saingan Moto3 musim ini hanya berbaki tiga pusingan dengan perlumbaan seterusnya iaitu GP Europa dijadualkan berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol pada 8 November depan.