AMPANG JAYA – Penemuan mayat seorang lelaki di taman permainan kanak-kanak mengemparkan penduduk di Taman Bukit Teratai, Kuala Lumpur pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, pihaknya dimaklumkan tentang penemuan tersebut daripada orang awam kira-kira pukul 7.22 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
“Pihak polis dimaklumkan bahawa terdapat seorang dalam keadaan terbaring di tempat kejadian yang tidak sedarkan diri dengan kesan terbakar di badannya.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati, lelaki tempatan berusia 70 tahun yang bekerja sebagai tukang kasut itu telah meninggal dunia serta tinggal berdekatan kawasan tempat kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Farouk, pihaknya turut menemui kesan melecur pada bahagian hadapan badan dari dada hingga ke paha mangsa.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai bertindak membunuh diri dengan menggunakan bahan bakar serta pemetik api dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat dan kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat,” jelas beliau.-K! ONLINE