fbpx

Lemas selamatkan sampan hanyut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bomba membawa mayat mangsa ke jeti nelayan Sungai Pulai untuk diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut.

SABAK BERNAM – Tindakan nekad seorang penternak kupang terjun ke dalam laut bagi menyelamatkan sampannya yang hanyut berakhir tragedi apabila ditemui lemas di Perairan Sabak Bernam di sini, hari ini.

Mayat lelaki dikenali Jam Md. Ross, 43, itu ditemukan pukul 9.20 pagi tadi dalam keadaan terapung  kira-kira 4.2 batu nautika dari tempat dilaporkan hilang.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan telah terjun ke dalam laut bagi menyelamatkan sampannya yang hanyut selepas terlepas tali tambatan di Kelong Kupang Sungai Tiga, Sungai Pulai di sini, semalam.

Difahamkan sebelum kejadian mangsa bersama dua rakannya ke kelong tersebut bagi memindahkan kupang yang diternaknya.

Katanya, pihaknya kemudiannya telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) sebaik menerima laporan daripada Ibu pejabat Polis Daerah Sabak Bernam pukul 5.45 petang.

“Mayat mangsa telah dibawa ke jeti nelayan Sungai Pulai oleh bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Sebaik tiba di jeti, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, Carilamat kemudiannya ditamatkan pukul 10 pagi tadi susulan penemuan mayat mangsa.

Jelas Mohammad Rosli, komuniti maritim dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan di laut dengan mengamalkan pemakaian jaket keselamatan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI