KOTA BHARU – Akhbar Kosmo! mengungguli anugerah tempat pertama bagi dua kategori iaitu Laporan Berita Terbaik dan Foto Terbaik pada Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan (MAKK) 2019/2020 di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, bekas Penolong Ketua Biro Kosmo! Kelantan, Muhammad Firdaus Hassan yang kini menyandang jawatan Penolong Pengarang Berita Kosmo! mengungguli kategori Laporan Berita Terbaik menerusi laporan berita Malang Jutawan Segera.
Sementara itu, Demam Beli Emas hasil bidikan Zulhanifa Sidek merupakan gambar penghias muka depan akhbar Kosmo! edisi pertama yang diterbitkan pada 20 Julai lalu dinobatkan sebagai Foto Terbaik.
Gandingan Muhammad Firdaus dan Tuan Nur Aimuni Tuan Lah sekali lagi mengharumkan nama Kosmo! apabila mereka meraih tempat kedua bagi kategori Laporan Rencana Terbaik menerusi tulisan rencana bertajuk Dilema Orang Asli Batek.
Selaku juara pemenang, Muhammad Firdaus dan Zulhanifa masing-masing meraih wang tunai berjumlah RM1,500, sijil dan cenderamata.
Bagi tempat kedua, Muhammad Firdaus dan Tuan Nur Aimuni membawa pulang wang tunai RM1,000 sijil dan cenderamata.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Menteri Bahagian Agama Ahmad Marzuk Shaary serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Datuk Mohd. Nasuruddin Daud. – K! ONLINE