MELAKA – Seorang bekas pembantu tadbir kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperoleh suapan bagi kontrak kerja pembekalan jabatan itu pada empat tahun lalu.
Tertuduh, Norshahril Ramlee, 39, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh iaitu sebagai pembantu tadbir kanan Kemas didakwa telah menerima suapan bernilai RM7, 000 daripada Mohd. Hyzery Elec sebagai upah memberikan kerja pembekalan alat ganti kelengkapan pejabat, elektrikal dan lain-lain kepada syarikat Bati Enterprise.
Tertuduh juga didakwa menerima suapan sebanyak RM2, 500 bagi membekalkan carta organisasi jabatan, carta pergerakan pegawai dan kakitangan daripada individu sama.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh masing-masing pada 14 Mei 2016 di Menara Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dan 14 November 2016 di Jalan Melor 1, Taman Peringgit Jaya dalam daerah Melaka Tengah.
Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM3, 000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan menanggung isteri serta tiga orang anak yang masih bersekolah, selain berdepan kesukaran mendapat pekerjaan tetap ekoran pendemik Covid-19.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan ke pejabat SPRM sehingga kes selesai.
Beliau turut menetapkan tarikh 2 Disember depan sebagai sebutan semula kes. Tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut.-K! ONLINE