KUALA PILAH – Kehadiran lebih 100 ekor beruk dan kera bukan sahaja merosakkan pelbagai peralatan dan barangan di Masjid Kampung Parit Istana, Terachi dekat sini malah turut meninggalkan kesan kotoran najis haiwan liar tersebut di ruang solat masjid itu.
Imam satu masjid berkenaan, Alias Meon, 67 berkata, pelbagai peralatan masjid seperti kerusi, pagar, pintu, wayar, pembesar suara, tingkap termasuk tandas telah dirosak dan dipecahkan oleh haiwan liar berkenaan sejak sekian lama.
Menurutnya, hampir setiap hari pihaknya perlu membersihkan serta mencuci masjid ini kerana beruk dan kera tersebut meninggalkan kesan najis di ruang halaman solat di hadapan masjid ini.
“Jika ramai jemaah yang hadir, kami tidak membenarkan mereka bersolat di ruang luar kerana khuatir najis ada di mana-mana.
“Kami telah memaklumkan pada pihak terbabit namun tiada sebarang tindakan malah makin banyak pula beruk dan kera yang datang dan meninggalkan kesan ‘tahi’ di sini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Alias menjelaskan, kehadiran haiwan berkenaan lebih aktif dan banyak sekiranya ada pihak yang menyumbang pisang atau buah-buahan dan diletakkan pada halaman solat pada hari Jumaat.
“Jika ada penyumbang pisang ini akan menarik lebih banyak beruk dan kera ke kawasan masjid.
“Apa yang merisaukan ialah kebersihan masjid, ada kalanya terdapat ada jemaah orang kenamaan yang melalui jalan Terachi untuk ke Istana Seri Menanti serta bermain golf di resort berdekatan masjid ini dan kami pula tidak sempat membersihkan ruang solat tersebut,” katanya lagi.
Sementara itu, bendahari masjid, Abdul Rahman Abdullah berkata, dia berharap ada pihak yang boleh menyumbang kepada pihak masjid untuk tujuan pembinaan pagar atau pintu bercermin bagi menutup ruang solat berkenaan.
“Kami berharap ada pihak yang boleh menyumbang kerana kos sebanyak RM15,000 diperlukan masjid agar dapat membina satu pagar bercermin bagi menutupi ruang yang sering didatangi oleh beruk dan kera,”jelasnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Alias menerusi nombor 011-1089 5077 atau menyumbang terus ke akaun Bank Islam bernombor 05030010105401 dengan nama akaun Ahli Jawatankuasa Masjid Kariah Kampung Parit Istana Terachi.-K! ONLINE