PETALING JAYA – Penyanyi Aishah kesal ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan gambarnya tujuan mempromosikan program menurunkan berat badan supaya memadam foto tersebut dengan segera di media sosial.
Menurut pelantun lagu Janji Manismu itu, tindakan yang dilakukan seorang pemilik akaun Instagram itu seolah-olah ingin menipu pelanggan supaya mereka percaya bahawa penyanyi dirinya berjaya menurunkan berat badan selepas mengikuti program yang dianjurkan.
“Mohon jangan gunakan gambar weightloss journey (perjalanan menurunkan berat badan) saya untuk mempromosikan program anda. This is misleading (ini adalah salah faham), seolah-olah saya turun berat badan kerana mengikuti program anda.
“Sedangkan yang mengikuti saya sahaja yang tahu mengenai perjalanan saya menurunkan berat badan bermula dengan Bariatric Surgery (pembedahan pintasan usus).
“Shame on you for manipulating my weight loss journey by implying that I had a weightloss coach such as yourself (awak sepatutnya malu kerana memanipulasi perjalanan penurunan berat badan saya dengan mendakwa saya telah menggunakan khidmat jurulatih iaitu awak sendiri). Please ya (tolong ya) saya bagi awak 24 jam untuk padam entri tersebut,” jelasnya.
Difahamkan perkongsian oleh individu terbabit telah dipadam daripada laman Instagramnya.
Pada masa sama, juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu juga menjelaskan bahawa dia tidak mahu fotonya disalah guna oleh pihak lain bagi meraih keuntungan.
“Mesti ada juga orang yang rasa saya ini fussy (memilih) sangat bila orang guna gambar sayakan?
“Here is the thing (Macam ini), kalau awak buat business, awak kenalah ada etika kerja.
“Artis ini kadang-kadang bukan saja dia niaga jual produk, malahan diri dia sendiri adalah produk. Ini yang kena faham,” ujar Aisyah.
Tambah Aisyah, tindakan menggunakan gambar individu lain untuk mencari keuntungan peribadi sangat tidak wajar dilakukan walaupun kenyataannya perkara yang ditulis ada kebenaran.
Pada masa sama, penyanyi berusia 55 tahun itu juga bimbang jika tiba-tiba dirinya disalahkan dan tidak mahu timbul sebarang masalah kemudian. – K! ONLINE