KUALA SELANGOR – Hanya 35 kompaun dikenakan terhadap individu yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Oktober lalu di Kuala Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, jumlah yang direkodkan dalam tempoh 13 hari itu dikira rendah jika dibandingkan dengan daerah lain di negeri ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan jumlah itu tidak menunjukkan pihaknya tidak menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan.
“Sebaliknya, pendekatan bertolak-ansur digunakan susulan kawasan ini seperti diketahui umum majoriti penduduknya bekerja kampung dengan pendapatan bawah RM1,000.
“Kita masih ada sikap bertimbang rasa dan tidak terus saman,” katanya ketika dibubungi Kosmo! hari ini.
Menurut beliau, pihaknya mengutamakan budi bicara dengan memberi nasihat kepada orang ramai dan juga pemilik premis agar mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ketika pemantauan dijalankan.
“Sekiranya masih berdegil, kompaun akan dikeluarkan tanpa sebarang kompromi.
“Meskipun kes di daerah ini masih terkawal namun pemerhatian mendapati rata-rata pemilik premis dan orang awam sentiasa mematuhi SOP,” ujarnya. – K!ONLINE