PUTRAJAYA – Kes jangkitan Covid-19 hari ini melaporkan kes tertinggi sepanjang pandemik itu di negara ini dengan kes sebanyak 1,240 termasuk daripada tiga kluster baharu menjadikan jumlah kes positif sebanyak 27,805 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1,238 adalah kes baharu membabitkan penularan tempatan manakala dua kes import.
“Sebanyak 500 kes dari Penjara Kepayan, Penjara Seberang Perai dan salah satu kluster baharu iaitu Penjara Tapah.
“Dua kluster baharu lain ialah Kluster Kapor di Sabah dan Kluster Hampar di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan hari ini.
Noor Hisham berkata, tujuh lagi kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 236.
Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 691 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 17,825 setakat hari ini. – K! ONLINE