fbpx

YDPA akan buat pertimbangan sewajarnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) percaya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, akan menggunakan kebijaksanaan dan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan keperluan pengisytiharan darurat berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ketika ini.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, PGSM percaya bahawa kuasa untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat adalah kuasa khas yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam maka baginda boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

“Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Musa, PGSM menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam memutuskan sama ada wajar atau tidak suatu proklamasi darurat dikeluarkan dengan mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan, ekonomi dan ketenteraman awam khususnya apabila membabitkan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara ini.

“PGSM ingin menegaskan bahawa semasa dalam tempoh proklamasi darurat berkuat kuasa, apa-apa undang-undang yang dibuat oleh Parlimen tidak memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak atau yang berhubungan dengan agama, kewarganegaraan, atau bahasa adalah tertakluk kepada Perkara 6A Perlembagaan Persekutuan.

“PGSM juga percaya bahawa Seri Paduka akan meletakkan keutamaan dan kesejahteraan rakyat di puncak utama dalam mempertimbangkan apa jua keputusan yang akan dibuat,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI