BATU GAJAH – Jika dilihat secara kasar, perwatakan dan pergerakan Wan Arief Firdaus Wan Ahmad Affendy, 16, sama seperti remaja lain.
Setiap petang, sebaik habis waktu persekolahan bermula pukul 5.30 petang hingga 9 malam, dia akan membantu ibunya, Zetty Ferdaus Ramli, 37, untuk berniaga di kedai mereka di Kampung Sentang dekat sini.
Siapa sangka, walaupun masih muda, Wan Arief cekap melakukan kerja malah turut mahir menyediakan roti puri yang menjadi menu utama kedai ibunya.
Namun, di sebalik kecekapannya itu, Wan Arief sebenarnya kehilangan kaki kiri yang terpaksa dipotong pada 2016 disebabkan penyakit kanser tulang dan kini aktiviti sehariannya bergantung kepada kaki palsu.
Selepas menjalani 14 kali rawatan kemoterapi dan disahkan bebas kanser pada 2018, dia kini masih perlu mendapatkan rawatan susulan setiap enam bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Selepas betul-betul disahkan bebas, saya rasa sangat bersyukur, saya dapat belajar semula seperti biasa dan tak mahu lagi ketinggalan.
“Dahulu disebabkan perlu menjalani rawatan dan kemoterapi, saya banyak ketinggalan dan kini tiba masa saya untuk membantu ibu bapa menambah pendapatan dengan membantu mereka di kedai,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di kedai ibunya semalam.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Indera Wangsa Ahmad itu berkata, apa yang berlaku pada dirinya adalah satu ujian dan dia bersyukur dapat melaluinya dengan baik.
Katanya, kaki palsu yang diguna bagaimanapun perlu ditukar mengikut tumbesaran tulang antara satu ke dua tahun serta menelan kos yang agak tinggi.
“Kaki palsu yang saya pakai ketika ini berharga RM6,500 dan ia akan ditukar kerana tumbesaran tulang juga sudah berubah.
“Untuk kaki palsu baharu yang lebih lasak, kos dianggarkan sebanyak RM12,250. Alhamdulillah ada pihak yang sudah membantu menyediakan wang untuk tujuan itu,” katanya.
Katanya, kos kaki palsu baharu itu lebih mahal kerana ia lebih tahan lasak dan sesuai untuk digunakan melakukan aktiviti lasak dan bersukan.
Sementara itu, Zetty berkata, dia bersyukur melihat perkembangan anaknya yang kini bebas daripada kanser dan membesar seperti remaja lain.
“Dia ada kekuatan dan semangat yang sangat tinggi dan kental, saya pun menumpang semangat dia kerana dia cukup positif, dia memang kuat dan kental.
“Keadaannya jauh berbeza dari dulu, jika dulu kita lihat wajahnya, kita tahu dia menderita, tapi hari ni kita lihat dia remaja yang sangat ceria, dia juga tak malu untuk berkongsi pengalaman sebagai bekas pesakit kanser,” katanya.