PEMAIN naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh mengakui bukan mudah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Police Tero SC menjelang aksi liga utama Thailand menentang Muangthong United di Stadium Boonyachinda, Bangkok pada malam ini.
Kata Sumareh, persaingan dalam skuad kendalian Rangsan Viwatchaichok sangat sengit bagi posisi serangan dengan adanya pemain import Perancis, Greg Houla dan kapten pasukan, Adisak Srikampang.
“Saya seorang yang tidak takut dengan cabaran dan harus diakui persaingan dalam kalangan pemain yang mewakili Police Tero SC sangat sengit kerana mereka memberikan 100 peratus di atas padang terutama pada sesi latihan.
“Mungkin sebelum ini, ketika mewakili Pahang, saya berada dalam kesebelasan utama dengan mudah kerana ia adalah zon selesa, tetapi bukan dengan kelab ini.
“Justeru, tiada jaminan kesebelasan utama tetapi apa yang saya boleh lakukan adalah bersabar serta bersedia dari segi mental dan fizikal sekiranya diturunkan pada perlawanan nanti,” kata pemain kelahiran Gambia itu semalam.