KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan Rapid Rail Sdn. Bhd. yang bertugas di bahagian operasi MRT dari laluan Kajang disahkan positif Covid-19.
Menurut kenyataan Rapid Rail yang dikeluarkan hari ini, petugas tersebut yang berkhidmat sebagai pengendali tren, masih bekerja sehingga 21 Oktober lalu.
Susulan insiden itu, Rapid Rail yang juga operator untuk MRT Laluan Kajang melaksanakan kerja-kerja disinfektasi dan pembersihan, khususnya di ruang digunakan petugas berkenaan bermula malam tadi.
“Petugas terbabit sudah dikuarantin di Hospital Sungai Buloh manakala proses disinfektasi dilaksanakan dengan berpandukan garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Semua tren dan koc sudah ditetapkan perlu menjalani kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap malam selepas operasi pada hari berkenaan,” jelas kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, semua petugas lain yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit tersebut diminta menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari, seperti ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.
“Semua agensi berwajib termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) turut dimaklumkan mengenai segala langkah diambil,” katanya. – K! ONLINE.