fbpx

PVATM buat laporan polis susulan penahanan tiga ahlinya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat polis (IPD) Bentong oleh Timbalan Yang Dipertua PVATM Pahang, Leftenan Kolonel Mohammad Junaidi Salleh yang diiringi kira-kira 65 orang Ketua Cawangan PVATM.

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

BENTONG – Isu tiga ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) termasuk Pengerusi Tetap PVATM Pahang ditahan ketika membuat kutipan Tabung Hari Pahlawan di Bentong sampai kemuncaknya apabila PVATM Pahang membuat laporan polis hari ini.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat polis (IPD) Bentong oleh Timbalan Yang Dipertua PVATM Pahang, Leftenan Kolonel Mohammad Junaidi Salleh yang diiringi kira-kira 65 orang Ketua Cawangan PVATM.

Mohammad Junaidi berkata, laporan polis dibuat selepas hampir 200,000 ahli PVATM seluruh Malaysia tidak berpuas hati dan rasa terhina dengan tindakan seorang pegawai polis yang menahan dan melarang tiga ahli PVATM membuat kutipan Tabung Hari Pahlawan meskipun mempunyai surat kebenaran polis.

“Yang kita tidak puas hati itu adalah cara dia bertindak, ada cara lebih baik lagi, kita rasa terhina maruah kita tercemar kerana dengan uniform kita pakai macam ini orang awam tengok, tangkap masuk kereta kita rasa sangat tidak bermaruah.

“Sepatutnya sebagai pegawai polis yang berpangkat dan berpengalaman dia tidak melakukan tindakan begitu terhadap dengan ahli-ahli veteran, sepatutnya dia kenal siapa dan apa veteran iaitu orang yang telah berjuang berpuluh-puluh tahun dahulu menentukan keselamatan negara kita hari ini sehingga semua dapat hidup dengan aman tenteram kerana perjuagan mereka, tetapi akhirnya dilayan sangat tidak wajar,”katanya di hadapan IPD Bentong di sini, hari ini.

Pada Rabu lalu tiga ahli PVATM yang sedang membuat kutipan derma Tabung Hari Pahlawan di sebuah kedai di Ketari, ditahan dan dibawa menaiki kenderaan polis ke IPD Bentong kerana didakwa melakukan kutipan yang tidak sah meskipun menunjukan surat kebenaran polis

Bagaimanapun tiga ahli PVATM berkenaan iaitu Pengerusi Tetap PVATM Pahang, Md. Yusof Johari,63; Setiausaha PVATM Bentong, Wan Ahmad Wan Yusof dan Hassan Adam,62, dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Menurut Mohammad Junaidi, beliau berharap perkara itu tidak berulang lagi dan kerjasama yang terjalin antara pihak PVATM dan polis selama ini akan terus terjalin.

Katanya, pihak polis telah menyatakan kekesalan dengan kejadian itu yang disebabkan salah faham ekoran penyampaian maklumat yang tidak sepenuhnya daripada pihak atasan kepada pihak bawahan sehingga pihak yang menjalankan tugas tidak mendapat maklumat jelas.

Tambahnya, pihak polis mengaku ada kesilapan pada anggota polis itu sendiri dan perkara ini telah diselesaikan di peringkat atasan termasuk oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dalam pada itu, Md. Yusof berkata, dia berasa terkejut dengan tindakan pegawai berkenaan yang terus membawa mereka ke balai polis sehingga menjejaskan imej mereka yang dilihat oleh awam pada ketika itu.

“Saya tunjukkan permit tetapi pegawai berkenaan menyatakan tidak sah kerana dari Dang Wangi dan dia minta kad pengenalan dan minta ke balai, saya minta naik kereta sendiri dia kata tidak boleh,”ujarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI