SEPANG- Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan menjalankan operasi sanitasi dan disinfeksi di 24 lokasi bermula esok hingga Khamis ini sebagai langkah membendung penularan Covid-19.
Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, operasi memfokuskan kawasan tumpuan awam, kaki lima pusat perniagaan atau komersial dan persekitaran yang berpotensi menularnya jangkitan Covid-19.
“Ops sanitasi awam ini dibantu Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta polis.
“Beberapa lokasi tumpuan orang ramai dan pusat perniagaan telah dikenal pasti antaranya di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Pasar Basar Salak, Blok Asrama Pekerja Omniwise KLIA, Salak dan Stesen Minyak Petronas, Pekan Salak.
“Selain itu operasi sanitasi ini juga akan dilakukan di Taman Saujana KLIA (Jalan 1/1-1/2), Kota Warisan (Apartment Megah Villa), lot komersial Warisan Sentral (KIP Sentral) dan lot komersial Taman Bunga Raya,” katanya menerusi Facebook rasmi MPSepang.
Katanya, pemilik premis juga diminta turut serta melaksanakan nyahkuman secara kendiri dalam membendung penularan wabak.-K!ONLINE