BIRMINGHAM – Jaringan hatrik Patrick Bamford memastikan kemenangan ketiga Leeds United pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas menewaskan Aston Villa 3-0 di Villa Park awal pagi semalam.
Pengurus Leeds, Marcelo Bielsa mengakui, mereka menampilkan aksi yang cukup baik, lebih-lebih lagi pada separuh masa kedua apabila berjaya meledak tiga gol.
Beliau juga memuji peranan serta penyudah yang ditampilkan Bamford pada perlawanan tersebut apabila berjaya memastikan Leeds mengutip tiga mata penuh.
“Satu aksi yang cukup baik ditampilkan oleh semua pemain. Kami beraksi lebih baik pada separuh masa kedua dan bernasib baik untuk jaringkan gol terlebih dahulu berbanding mereka.
“Saya sangat gembira untuk Patrick (Bamford) kerana ketiga-tiga gol itu sangat menarik. Saya fikir mungkin itu gol paling cantik pernah dijaringkannya,” ujar Bielsa.
Sementara itu, Bamford berkata, jaringan tersebut ibarat impian menjadi kenyataan selain menegaskan, ia tidak mungkin terjadi tanpa bantuan daripada rakan-rakan sepasukan.
“Bagi saya, ia boleh dianggap sebagai mimpi jadi kenyataan. Ini adalah bukti kerjasama pasukan sangat penting kerana tanpa mereka, saya tidak mungkin dapat jaringkan tiga gol hari ini (semalam),” kata Bamford. –AGENSI