fbpx

Elak beli BB Glow Soul Cream – NPRA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk kosmetik BB Glow Soul Cream yang dilarang dijual di negara ini kerana mengandungi hidrokuinon dan tretinoin.

PUTRAJAYA – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam supaya tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik BB Glow Soul Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Dr. Faridah Aryani Md. Yusof berkata, produk kosmetik berkenaan dikesan mengandungi racun berjadual jenis hidrokuinon dan tretinoin.

Beliau berkata, notifikasi produk kosmetik berkenaan sudah dibatalkan dan ia tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

“Produk yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan produk tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengundang pelbagai kesan sampingan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, kulit menjadi sensitif dan boleh menghalang proses pigmentasi yang kemudian mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Manakala, tretinoin pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Faridah berkata, pengedar dan penjual kosmetik berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedaran serta merta jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, penjualan dan pengedaran produk adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Jika didapati bersalah, hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutanya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, bagi syarikat pula, denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam digalakkan menyemak status notifkasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun di Google Play Store.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI