KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 15, Flat Ladang Gemilang 1 di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa, Mohamad Aryan Defa Danish Mohd. Azizul meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Dia dipercayai terjatuh dari salah sebuah tingkap yang terdapat pada bahagian ruang tamu rumahnya.
Difahamkan sewaktu kejadian, kanak-kanak itu bersendirian di dalam rumah sementara ibunya keluar ke sebuah kedai berhampiran.
Seorang saksi, Siti Mafatehah Alias, 29, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang berehat sebelum mendengar bunyi dentuman kuat.
“Pada mulanya saya sangka ada jiran dari tingkat atas membuang sampah sebelum suasana menjadi kecoh dan anak saya memberitahu seorang budak telah terjatuh.
“Saya mengecam kanak-kanak itu sebagai anak seorang jiran yang tinggal di tingkat 15 flat kami,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner
Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, mayat Mohamad Aryan Defa Danish telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE