fbpx

Bapa bunuh, lumur anak dengan garam didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Roslan Wan Mustapa,40, (tengah) didakwa atas dua pertuduhan membunuh anak dan mencederakan isterinya di Mahkamah Majistret Pasir Puteh hari ini.-Foto ZULHANIFA SIDEK

PASIR PUTEH – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh anak lelaki berusia lapan bulan dan mencederakan isterinya dengan penyapu dalam kejadian di Bachok tengah bulan ini.

Tertuduh, Wan Roslan Wan Mustapa,40, hanya mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh dan menyebabkan kematian bayi lelaki, Wan Mohamad Afiq Zafwan Wan Roslan yang berusia lapan bulan.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Roslan didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nor Hanifah Mohamad,32, dengan menggunakan sebatang penyapu.

Pertuduhan bagi pendakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326 A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana antara dua hukuman berkenaan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Bachok kira-kira pukul 10 pagi pada 13 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh yang diwakili oleh Peguam Muhamad Izwan Ishak.

Mahkamah menetapkan tarikh 24 November untuk serahan keputusan laporan bedah siasat mayat anak tertuduh, laporan kimia, laporan psikiatri dan sebutan semula kes.

Mohd. Dinie Shazwan turut mengarahkan Wan Roslan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama sebulan untuk menjalani tempoh pemerhatian tahap kewarasan tertuduh.

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan mayat seorang bayi berusia lapan bulan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di dalam guni yang ditinggalkan di rak di dapur sebuah di Kampung Sungai Dua dekat Bachok pada 13 Oktober lalu.

Lebih menyedihkan, kulit leher mangsa didapati menggelupas dipercayai dilumur dengan garam kasar selain kesan lebam di seluruh badan.

Siasatan polis mendapati, lelaki itu dipercayai terlibat dengan ajaran sesat sehingga terdengar bisikan mengarahkan untuk menamatkan riwayat anaknya dengan kejam.

Semasa prosiding reman baru-baru ini, lelaki itu terpaksa diusung oleh enam anggota polis selepas enggan turun dari kereta peronda.

Lebih drama apabila suspsk bertindak membaca pelbagai surah al-Quran dengan alasan untuk berdoa sebagai pendinding diri.

Difahamkan, dia disyaki mengalami masalah mental.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI