KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau mengambil maklum nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya pimpinan politik termasuk Ahli Parlimen tidak berpolitik secara berlebihan.
Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu wajar dicermati dan dihayati.
“Tokoh politik termasuk Ahli Parlimen harus prihatin dan menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Perlembagaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, institusi Parlimen dan negara agar dapat diimbangi pelbagai tuntutan berkait keadilan, menolak rasuah dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.
“Selaras dengan semangat ini, maka kami akan mempastikan perancangan menangani malapetaka Covid-19, masalah pengangguran dan kemiskinan serta menjana pertumbuhan ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih terencana dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, beliau menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menolak usul Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk mengisytiharkan darurat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah sebuah ketetapan bersejarah.
Tambab beliau, keputusan dan ketetapan bersejarah Yang di-Pertuan Agong itu memperkukuh sistem Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.
“Ia ternyata suatu ketetapan yang berlandaskan semangat Perlembagaan dan memahami denyut nadi keresahan dan suara rakyat seperti yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin politik, masyarakat madani, tokoh akademik dan media yang bertanggungjawab yang menginginkan agar sistem demokrasi tidak dinodai,” katanya. – K! ONLINE