LIVERPOOL – Pengendali Everton, Carlo Ancelotti membuat pusingan ‘U’ apabila mengesahkan bahawa pemainnya, James Rodriguez cergas untuk diturunkan pada aksi menentang Southampton malam ini.
Sebelum ini, Ancelotti dalam satu sesi temu ramah memberi bayangan bahawa tonggak bahagian tengahnya itu mengalami kecederaan ketika menentang Liverpool minggu lalu dan mungkin terlepas aksi di St. Mary.
“Malangnya, James mengalami masalah kecederaan ketika menentang Liverpool sebelum ini.
“Dia terkena terjahan lewat daripada Virgil Van Dijk pada awal perlawanan dan saya fikir dia mungkin terpaksa direhatkan menentang Southampton,” kata Ancelotti Khamis lalu.
Perkembangan awal itu nyata mengecewakan para peminat Everton selepas pasukan itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan.
Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaharu Ancelotti mengakui bahawa Rodriguez belum terkeluar sepenuhnya dalam senarai pasukan itu berdepan Southampton selepas kembali menjalani latihan kelmarin.
“Berita yang menggembirakan adalah proses pemilihan berjalan dengan baik dan kembali menjalani latihan bersama pasukan.
“Saya berharap dia mampu untuk terus menjalani latihan sebelum kami ke Southampton. Dia semakin baik dan yakin mampu beraksi,” jelasnya. – AGENSI