PEMAIN sensasi Harimau Malaya, Safawi Rasid bakal diuji sekali lagi bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) Portimonense SC menentang Maritimo pada awal pagi esok dalam proses menyesuaikan diri dengan corak bola sepak di Portugal.
Safawi berkata, pada masa ini dia berada dalam tahap terbaik, selain sudah selesa dengan keadaan persekitaran dan pemakanan selepas berhijrah secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) awal bulan ini.
“Setakat ini, saya cukup selesa dengan persekitaran malah pemakanan juga tiada masalah. Sesi latihan turut dijalankan dengan cukup kompetitif dengan barisan pemain bekerja keras untuk memikat jurulatih secara merit.
“Saya cukup bersemangat, tetapi pada masa ini, saya diarahkan untuk sekali lagi bersama skuad B-23 Portimonense menentang Maritimo minggu ini. Secara jujur, bagus juga jurulatih memberi peluang untuk bersama skuad B-23 kerana masih perlu menyesuaikan diri dengan keadaan bola sepak di sini.
“Mungkin tidak lama lagi rezeki saya akan tiba untuk mewakili skuad utama tetapi apa yang penting ketika ini, saya perlu bersedia mental dan fizikal untuk buat yang terbaik dengan setiap peluang yang diberi,” katanya.
Sebelum ini, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengharapkan penyokong bola sepak Malaysia bersabar dan memberi ruang buat Safawi yang masih menantikan peluang untuk berada dalam skuad utama kendalian Paulo Sergio itu.
“Rakyat Malaysia kena faham pemain kita datang dari ranking rendah dan mereka perlu bersaing dengan bakat-bakat dari negara yang memiliki kedudukan ranking lebih tinggi seperti Brazil, Colombia dan Ukraine.
“Walaupun bakat Safawi tidak perlu diragui, namun dia tetap perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri. Kita perlu menghormati Portimonense dan percaya dengan proses dalam usaha mengembangkan bakatnya,” katanya.