SABAK BERNAM – Polis telah mengenal pasti identiti pemandu lori tangki yang tular memandu dalam keadaan berbahaya di Jalan Persekutuan Klang-Teluk Intan, dekat Sungai Haji Dorani, semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pengenalpastian tersebut dilakukan menerusi nombor pendaftaran kenderaan dipandu lelaki berkenaan.
Katanya, difahamkan syarikat lori itu beralamat di Shah Alam.
“Kita telah memanggil lelaki tersebut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.
“Tindakan saman akan dikenakan terhadap pemandu itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu video berdurasi 1 minit 43 saat tular di laman sosial Facebook (FB) Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memaparkan aksi lelaki tersebut yang memandu lori dalam keadaan berbahaya.
Video itu menunjukkan tindakan pemandu lori tangki yang menukar lorong tanpa memberi lampu isyarat sekaligus membahayakan kereta yang mengekori di belakangnya.
Berdasarkan video tersebut, Jamal meminta pemandu lori tersebut berhenti kerana telah merbahayakan pengguna lalu lintas lain.
Namun lelaki tersebut menyatakan brek lori tangki tidak bleh berhenti dan menyatakan lebih baik pengguna mati dan tidak membawa kereta. -K!ONLINE