fbpx

Perhilitan Kelantan terima aduan gangguan pelbagai spesies hidupan liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara gajah liar yang mengganggu tanaman penduduk ditangkap di Lata Rek, Kuala Krai baru-baru ini./ FOTO - BAHRUDDIN HATTA

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menerima sebanyak 421 aduan gangguan pelbagai hidupan liar daripada orang ramai sejak awal tahun ini.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, jumlah aduan itu mencatatkan penurunan berbanding sembilan bulan pertama pada tahun lalu iaitu sebanyak 456 kes.

Menurutnya, aduan itu melibatkan gangguan spesies hidupan liar seperti kera, beruk, beruang, babi dan gajah di Gua Musang, Jeli, Kuala Krai serta Tanah Merah.

“Kita menerima aduan mengenai gajah liar sebanyak 128 kes pada tahun ini manakala 125 kes dilaporkan pada tahun lepas.

“Kebanyakan aduan melibatkan gajah itu diterima selepas hidupan liar berkenaan menganggu dan memusnahkan tanaman penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, sebanyak 12 ekor gajah berjaya ditangkap dan dibawa ke pusat konservasi.

Katanya, selain itu, langkah khidmat nasihat, pemantauan, tembak halau, pemasangan perangkap dan tangkap pindah di kawasan dikenal pasti turut dijalankan di kawasan tersebut.

“Kita turut bekerjasama agensi lain bagi mitigasi pengurusan itu termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pihak berkuasa tempatan.

“Bagaimanapun, paling utama adalah peranan kita untuk memberi kesedaran kepada orang awam dan semua pihak bahawa gangguan melibatkan hidupan liar ini adalah isu bersama,” katanya.

Menurutnya, konflik gangguan hidupan liar kebiasaannya berlaku berdasarkan waktu aktif spesies hidupan liar itu.

Tambahnya, sebagai contoh, gangguan kera kebiasaannya berlaku pada waktu siang manakala gajah pula pada waktu malam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI