RAWANG – Seorang lelaki yang aktif melakukan jenayah samun dan curi kenderaan sekitar Gombak serta Hulu Selangor diberkas dalam satu serbuan di Jalan Kemunting Kampung Kenanga, di sini, Khamis lalu.
Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak kira-kira pukul 7 petang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, serbuan itu dilakukan susulan satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki berusia 33 tahun selepas motosikal jenis Yamaha 125ZR miliknya dicuri sehari sebelumnya.
Arifai berkata, semasa serbuan dilakukan suspek sedang meleraikan komponen sebuah kereta jenis Honda Civic Ferio.
“Menyedari kehadiran anggota polis, suspek bertindak cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar rumah suspek telah menemui dua lagi kereta iaitu jenis Honda Civic Ferio dan Toyota Corolla Altis. Kedua-duanya menggunakan nombor pendaftaran palsu,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Arifai, siasatan lanjut mendapati kereta Honda Civic Ferio dilaporkan hilang di Kepong dan Toyota Corolla Altis terlibat dalam satu kes samun berkumpulan di Bukit Sentosa.
“Susulan itu, anggota kemudiannya menyerbu sebuah lagi premis Taman Bersatu dan telah menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR milik pengadu.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek terlibat dalam tiga kes sebelum ini iaitu dua kes curi kenderaan dan satu kes samun bersama dua orang lagi rakannya yang masih bebas,”ujarnya.
Tambah Arifai, suspek kini direman selama empat hari sehingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. -K! ONLINE