LONDON – Pengurus Chelsea, Frank Lampard percaya mereka bakal berdepan cabaran sukar pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi esok.
Ia disebabkan aksi mantap yang ditampilkan United ketika menewaskan finalis Liga Juara-Juara musim lalu, Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 Rabu lalu.
Justeru, Lampard menggesa anak-anak buahnya supaya menampilkan aksi lebih matang pada perlawanan esok sekiranya mahu mencatat kemenangan ke atas skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu.
“Mereka mencatat keputusan yang cukup baik apabila berjaya menewaskan PSG. Saya fikir kemenangan itu mampu menjadi pembakar semangat buat mereka menjelang Sabtu ini (awal pagi esok).
“Walaupun kita masih berada pada awal saingan musim ini tetapi saya mahu semua pemain berikan aksi terbaik. Kami tidak boleh tercicir mata setiap minggu,” tegas Lampard.
Meskipun sedar skuad kendaliannya berada dalam situasi tidak menentu, namun legenda The Blues itu berharap pemain-pemainnya percaya dengan kemampuan sendiri menjelang perlawanan penting tersebut.
“Manchester United sentiasa menjadi pencabar terkuat pada setiap musim dan mereka dilihat sudah kembali mendapatkan rentak. Kami akan ke sana dengan semangat baharu,” ujarnya. – AGENSI