fbpx

Jabatan Laut periksa kapal asing sekitar PD dan Kuala Linggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota pembersihan menarik ‘absorbent boom’ yang dipasang di sekitar paya bakau di Pantai Cermin, Batu 10, dekat sini hari ini.

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

PORT DICKSON – Jabatan Laut akan melakukan pemeriksaan terhadap kapal asing sekitar pelabuhan di Port Dickson dan Kuala Linggi bagi mengelakkan berlakunya lagi insiden tumpahan minyak.

Pengarah Bahagian Keselamatan Sekuriti dan Alam Sekitar Jabatan Laut, Mohd. Fairoz Rozali berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan pelaku jenayah laut mengambil kesempatan membuang sisa minyak di perairan Selat Melaka.

“Kami akan mengadakan pemeriksaan pada kapal asing dan memantau minyak yang digunakan oleh kapal tersebut bagi mengelakkan kejadian tumpahan minyak berulang di sekitar perairan Selat Melaka ini.

“Pihak kami juga akan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Marin dengan memantau perairan ini melalui laut dan udara secara berkala,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa meninjau operasi pemantauan di Pantai Cermin hari ini.

12 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan kejadian tumpahan minyak sepanjang tiga meter di Pantai Cermin, Batu 10 dekat sini dan Tanjung Tuan, Melaka.

Sementara itu, menurut Mohd. Fairoz, operasi pembersihan yang bermula 13 dan berakhir 18 Oktober lalu dilihat berjaya mengeluarkan sisa minyak berkenaan terutama dengan penggunaan ‘absorbent boom’ atau penyerap minyak yang dipasang di sekitar persisiran Pantai Cermin dan kawasan paya bakau di Tanjung Tuan.

“Selepas hari ke-12, kami datang semula ke Pantai Cermin bagi melihat proses pemulihan yang berlaku di dua pantai ini. Apa yang kami dapat lihat, hidupan marin seperti ikan belacak, ketam sudah kembali ke habitat asal berdekatan kawasan paya bakau.

“Tinjauan kami pada hari ini juga melihat ‘absorbent boom’ yang dipasang juga berfungsi dengan baik dan tiada lagi kesan berkilat menunjukkan ketebalan minyak terutama di kawasan paya bakau,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fairoz berharap, pihak hotel yang berada berhampiran dapat mengambil Pantai Cermin sebagai pantai angkat bagi bersama-sama menjaga kawasan tersebut.

“Saya berharap sekiranya ada pihak industri perhotelan yang mahu mengambil Pantai Cermin ini sebagai anak angkat serta boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya juga berharap ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh menjadi mata dan telinga kepada PBT melaporkan sebarang kejadian tumpahan minyak supaya maklum balas dapat diberi lebih cepat agar penularan tumpahan minyak dapat dibendung dengan lebih cepat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI