LONDON – Romain Grosjean dan Kevin Magnussen diminta untuk meninggalkan pasukan Haas pada saingan perlumbaan Formula Satu (F1) musim depan selepas pasukan tersebut mendakwa berdepan masalah kewangan.
Pelumba Perancis, Grosjean, 34, menyertai pasukan Haas sejak pasukan tersebut menyertai perlumbaan F1 pada 2016 manakala Magnussen, 28, meninggalkan pasukan Renault pada 2017 untuk menyertai pasukan tersebut pada musim 2018.
Grojean menegaskan pemilik pasukan Haas, Gene Haas meminta mereka meninggalkan pasukan tersebut atas faktor kewangan yang semakin mendesak.
“Saya tahu mungkin salah seorang daripada kami akan disingkirkan kerana keadaan kewangan dan Covid-19 yang menyerang dunia ketika ini memberi kesukaran kepada syarikat-syarikat di luar sana.
“Tetapi, ketika saya berjumpa dengan Gene, dia menjelaskan sebab utama keputusan itu dilakukan adalah faktor kewangan dan meminta kami berdua meninggalkan pasukan ini,” katanya.
Jika benar perkara itu berlaku, Haas mungkin membawa masuk dua pelumba baharu menjelang perlumbaan musim 2021 nanti dan antara yang dijangka menyertai pasukan tersebut merupakan pelumba dari saingan Formula Dua (F2).
Pelumba F2 Rusia, Nikita Mazepin dikaitkan antara calon untuk menyertai pasukan Haas kerana bapanya, Dimitry merupakan seorang jutawan yang terkemuka di Rusia dengan memiliki beberapa syarikat kimia dilihat mampu menjadi penaja baharu dan sumber kewangan untuk pasukan tersebut terus kekal bersaingan dalam perlumbaan paling berprestij di dunia itu.
Selain itu, anak kepada juara tujuh kali Formula Satu (F1) Michael Schumacher, Mick juga turut dikaitkan menyertai pasukan Haas selepas dia kini muncul sebagai pendahulu dalam saingan F2 ketika ini. – AGENSI