fbpx

Gencatan politik demi nasib rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

“SAYA pohon semua pihak beri ruang kepada Agong menunaikan tanggungjawab mengikut lunas Perlembagaan dan budi bicara untuk menelaah dokumen dan memanggil ketua parti mengesahkannya.”

Itu antara diluahkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempersembah dokumen sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah minggu lalu.

Ia susulan dakwaan Anwar mendapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini.

Namun, langkah Ketua Pembangkang mengumumkan sokongan itu ketika negara dilanda gelombang ketiga Covid-19 memberi persepsi dan reaksi berbeza oleh rakyat. Ada yang menyokong, juga sebaliknya.

Dalam konteks ini, sokongan sepenuhnya harus diberikan kepada kerajaan memerintah lantaran agenda utama negara ketika ini ialah menghentikan rantaian Covid-19 dan bukannya drama siapa lebih berkuasa.

Menurut Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, semua parti politik perlu memfokuskan kepada konsep ‘political embargo’ atau gencatan politik demi kesejahteraan rakyat.

“Gencatan politik itu perlu dilaksanakan sehingga negara benar-benar pulih dari segi ekonomi dan jangkitan wabak. Ini antara dua tumpuan utama yang perlu diberi perhatian selain hal berkaitan politik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, setiap parti politik perlu tampil matang dan tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan agenda peribadi mereka ekoran wabak Covid-19 telah menyebabkan kehidupan rakyat begitu terkesan.

“Beri tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi dan membantu rakyat terlebih dahulu, biar kerajaan semasa melaksanakan tugas mereka sehingga wabak pulih dan kehidupan rakyat kembali selesa,” tegasnya.

Pada masa sama, Ahmad Martadha turut meminta semua pemimpin tanpa mengira perbezaan fahaman politik untuk terus bersama-sama berganding bahu dalam mendepani gelombang ketiga Covid-19.

“Sebagai contoh, walaupun Selangor kini dikuasai oleh PKR menerusi Pakatan Harapan (PH), namun mereka boleh mengambil kesempatan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi memulihkan pandemik tersebut.

“Dalam situasi ini, perbezaan agenda politik perlu diketepikan seketika dan mengutamakan usaha membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40,” ujarnya.

Pada masa sama, UMNO turut mempamerkan kematangan politik parti tersebut apabila mengaktifkan mod political embargo dengan mendukung penuh kerajaan PN.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gencatan politik itu memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat dilaksanakan.

Ahmad Zahid juga meminta agar kerjasama semua parti dalam kerajaan PN terus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara sedang mengalami ketidakstabilan ekonomi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI