Oleh ROSLIZA MOHAMED
JELI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup sebanyak 3,400 kilogram minyak masak bersubsidi ke negara jiran dalam operasi di Ayer Lanas di sini semalam.
Operasi yang dijalankan pada pukul 4 pagi itu berjaya merampas 200 kotak minyak masak yang dianggarkan bernilai RM8,500 dalam dua buah kenderaan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, rampasan itu dilakukan selepas menerima maklumat risikan pasukannya bersama Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, sebelum operasi dijalankan, anggota penguat kuasa mendapati, seorang lelaki sedang memindahkan kotak disyaki minyak masak dari sebuah van jenis Ford Econovan ke dalam sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand di Lebuhraya Jeli – Tanah Merah.
“Pasukan kita bertindak mengekori suspek yang menghala ke arah Pengkalan Haram Wakaf Zin, Ayer Lanas dan disyaki akan memunggah barang kawalan itu di tebing sungai sempadan negara.
“Bagaimanapun, suspek menyedari dia diekori sebelum meninggalkan kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dan bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran sungai tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Azanizam, pemeriksaan ke atas kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan suspek membawa kepada penemuan minyak masak bersubsidi dengan anggaran kuantiti sebanyak 120 kotak disyaki untuk diseludup ke negara jiran melalui jalan sungai di sempadan negara.
Katanya, susulan itu, KPDNHEP juga membuat pemeriksaan lanjut ke atas van yang berada di tepi lebuh raya sebelum menemui sebanyak 80 kotak minyak masak bersubsidi.
“Siasatan mendapati, penyeludup akan mengumpul minyak masak dipercayai diambil dengan pembekal di kawasan sekitar termasuk dari Kota Bharu sebelum diseludup ke negara jiran.
“KPDNHEP Kelantan bersama agensi penguatkuasaan di sempadan negara memberi amaran keras supaya aktiviti ini tidak berlaku serta memandang serius tindakan menyelewengkan subsidi negara,” katanya.
Tambahnya, kesemua barangan rampasan dibawa ke stor penyimpanan barang kes KPDNHEP negeri mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE