fbpx

Empat kes polio dikesan di Sabah setakat 16 Oktober lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kempen Imunisasi Polio di Sabah melibatkan pemberian vaksin oral polio (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh Sabah. Gambar hiasan

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan empat kes polio di Sabah membabitkan bayi dan kanak-kanak berusia tiga bulan hingga 11 tahun bagi tempoh 1 Januari 2019 hingga 16 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes membabitkan bayi dan kanak-kanak berusia tiga bulan, tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun.

Beliau berkata, kesemua kes dikesan daripada 317 kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) iaitu gejala akut menyerupai polio di seluruh negara.

“Buat masa ini, satu kes dirawat di hospital kerana memerlukan bantuan pernafasan manakala, tiga kes lagi berjalan dengan sokongan kerana masih mengalami lemah anggota kaki.

“Malaysia diisytiharkan bebas daripada polio pada tahun 2000 dengan kes terakhir dilaporkan pada tahun 1992.

“Malangnya, selepas 27 tahun, kes polio dilaporkan semula di Sabah pada penghujung tahun 2019,” katanya dalam kenyataan akhbar sempena Hari Polio Sedunia yang disambut, pada pada hari ini.

Katanya, kementerian turut menjalankan persampelan air kumbahan bagi mengesan kehadiran virus polio dalam persekitaran bermula 1 Januari 2019 hingga 30 September lalu.

Noor Hisham berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 558 sampel air kumbahan telah diambil di seluruh negara yang mana, 24 sampel air dikesan mengandungi virus polio di Sabah termasuk satu sampel di Labuan.

Menurutnya, sampel persekitaran positif yang terakhir dikesan virus polio adalah pada 13 Mac lalu.

“Selain menjalankan langkah-langkah pengesanan kes, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri telah menjalankan Kempen Imunisasi Polio bagi menghentikan penularan virus polio dan mencegah kejadian kes polio.

“Kempen Imunisasi Polio di Sabah (KIPS) telah dilaksanakan secara beperingkat semenjak 27 Disember tahun lalu membabitkan pemberian vaksin oral polio (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh negeri Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dimulakan sejak 18 Mac lalu telah memperlahankan aktiviti kempen, namun ianya telah dipergiatkan semula ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Noor Hisham berkata, susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah, aktiviti kempen ditangguhkan sekali lagi.

Jelasnya, walaupun terdapat banyak kekangan, liputan kempen adalah baik dimana seramai 815,790 (95.6 peratus) orang kanak-kanak di Sabah telah menerima dua dos vaksin bOPV, manakala 687,500 (80.6 peratus) orang kanak-kanak telah menerima dua dos vaksin mOPV2.

“Walaupun negara sedang memerangi pandemik Covid-19, ancaman polio juga perlu diambil perhatian yang sewajarnya oleh rakyat Malaysia.

“Pastikan anak-anak kita mendapat suntikan vaksin polio mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sekiranya telah tercicir imunisasi, hubungi klinik berdekatan untuk temujanji dan penjadualan semula mengikut kesuaian umur,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI