KUALA LUMPUR – Perisytiharan darurat hanya akan menguntungkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Tun Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, darurat tidak boleh menghentikan pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan, sebaliknya memberikan kuasa yang lebih besar kepada Muhyiddin yang didakwanya tidak berbuat apa-apa untuk mitigasi masalah politik, ekonomi dan sosial.
Sebaliknya, tindakan-tindakan Muhyiddin hanyalah untuk situasi politik.
“Berdepan dengan kebarangkalian dijatuhkan, Perdana Menteri mahukan kuasa di bawah darurat.
“Ia hanya menguntungkan Perdana Menteri memandangkan Parlimen akan lumpuh. Dia kemudian akan mendakwa ini adalah kehendak Istana Negara,” katanya dalam satu hantaran hari ini.
Jelas beliau, tidak seperti negara lain, rakyat Malaysia secara umumnya mengikuti larangan yang dikeluarkan kerajaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan.
“Tidak ada rusuhan atau keganasan di Malaysia, tiada pelanggaran undang-undang untuk menjustifikasikan darurat,” ujar beliau.
Jelas Mahathir lagi, sekiranya darurat diisytiharkan, pasaran saham akan jatuh dengan teruk kerana para pelabur tidak mempunyai keyakinan dalam keupayaan Perdana Menteri untuk menguruskan ekonomi.
“Negara-negara lain yang berhadapan dengan masalah Covid-19 yang lebih serius tidak mengisytiharkan darurat untuk keseluruhan negara tetapi hanya kawasan-kawasan terjejas.
“Darurat itu spesifik untuk masalah setempat. Tetapi tidak ada negara yang menggantungkan undang-undang dan Parlimen seperti mana jika darurat dilaksanakan di Malaysia,” ujarnya. -K! ONLINE