KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Selangor mencadangkan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan bagi menyesaikan kemelut politik yang dihadapi ketika ini secepat mungkin.
Ketua Penerangannya, Isham Jalil berkata, Muhyiddin perlu menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sama ada untuk melantik Perdana Menteri baharu, membubarkan Parlimen atau mengisytiharkan darurat.
“Langkah itu adalah lebih sopan dan ‘gentleman’ iaitu dengan memberi ruang sepenuhnya kepada Al-Sultan Abdullah untuk membuat keputusan tanpa apa-apa kekangan atau paksaan jika ada.
“Ia perlu dilakukan untuk mengelakkan jalan yang panjang dan memakan masa tetapi dengan pengakhiran yang sama iaitu darurat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Al-Sultan Abdullah memilih untuk memperhalusi cadangan Muhyiddin adalah kerana dua perkara, iaitu terdapat pilihan lain sebelum langkah pengiystiharan darurat dibuat.
Selain itu, katanya, ia juga bagi mengelakkan peruntukan darurat dalam perlembagaan disalah guna untuk kepentingan politik. – K! ONLINE