REPUBLIK CZECH – Bintang Greece, Maria Sakkari melakukan kejutan selepas menumbangkan pemain pilihan utama, Elina Svitolina dengan kemenangan straight set pada kejohanan Terbuka Ostrava awal pagi semalam.
Selepas menyingkirkan pemain tuan rumah, Kristyna Pliskova pada pusingan pembukaan, pemain berusia 25 tahun itu meneruskan rentak kemenangan dengan mengatasi pemain ranking No.5 dunia, Svitolina dengan keputusan 6-3, 6-3 dalam masa satu jam 16 minit untuk mara ke suku akhir.
“Saya rasa strategi permainan saya benar-benar menjadi. Sudah pasti pukulan servis juga banyak membantu saya mengutip mata penting pada perlawanan ini.
“Saya gembira meraih kemenangan ini terutama mengatasi pemain di kelompok lima terbaik dunia. Kemenangan ini membantu meningkatkan keyakinan saya untuk bermain dengan lebih baik.
Terima kasih kepada semua yang menyokong saya,” katanya.
Jelena Ostapenko turut mencipta satu lagi kejutan dengan mengatasi pemain pilihan kelima, Petra Martic dengan kemenangan 6-3, 6-1.
Victoria Azarenka turut mara ke pusingan seterusnya apabila menewaskan Barbora Krejcikova 2-6, 6-2, 6-1.
“Set pertama tidak berapa baik, namun saya tidak berputus asa dan mengubah perlawanan. Saya mula mendapat rentak selepas itu dan saya rasa itu titik kebangkitan meraih kemenangan hari ini,” ujar Azarenka. – AGENSI