fbpx

Sistem PPj terima pengiktirafan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) melakar nama di pentas dunia apabila menerima Anugerah Annual Investment Meeting (AIM) – ‘Future City Awards’ di bawah kategori ‘Future Government Award’ bagi Sistem Pemantauan OSC 3.0 PPj.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Tengku Aina Tengku Ismail Shah, penganugerahan itu adalah yang pertama di peringkat antarabangsa diterima PPj bagi sistem berkenaan.

Beliau berkata, anugerah tersebut diterima atas pencapaian markah tertinggi PPj dalam penyertaan Pertandingan Inovasi Antarabangsa AIM Future Cities Award Dubai 2020.

“Sistem Pemantauan OSC 3.0 berkebolehan untuk menerima, memproses, meluluskan dan memantau semua projek perancangan, pembangunan, landskap, infrastruktur serta ubah suai sehingga ke pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Sistem ini dilihat sebagai cerminan ketelusan pihak PPj dalam berurusan dengan pemegang taruh terlibat serta dapat mempercepatkan proses kelulusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anugerah itu diterima melalui Majlis Future Cities Award Ceremony yang berlangsung secara virtual dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu, pukul 7 malam semalam.

Majlis itu adalah bersempena penganjuran AIM Digital 2020 iaitu ekspo digital sebagai satu inisiatif daripada Kementerian Ekonomi Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menghimpunkan komuniti pakar pelaburan global di bawah satu platform virtual.

Tengku Aina berkata, sistem itu telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di arena tempatan seperti Anugerah Presiden di Malaysia Institute of Planners (MIP) for Planning Excellence 2018 dan Anugerah Emas di Regional Team Excellence 2019 oleh Malaysia Productivity Corporation.

Katanya, selain itu, sistem tersebut juga menerima Anugerah 5 Bintang Emas di The Annual Productivity and Innovation Conference (APIC) Exposition 2019 dan Pemenang Kategori Sektor Awam di APIC 2019.

“Sistem ini juga dapat dilihat sebagai kayu ukur kepada pembangunan Sistem OSC 3 Plus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diguna pakai oleh pihak berkuasa tempatan di Malaysia.

“Sistem ini juga mesra pengguna dan boleh diakses secara pangkalan web atau menerusi telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, Tengku Aina berkata, kesemua anugerah yang diterima itu adalah satu pengiktirafan kepada usaha PPj dalam usaha memajukan Putrajaya sebagai Smart City menjelang 2025.

“Blueprint Smart City Putrajaya menggariskan 93 inisiatif pintar yang bermula sejak tahun 2018,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI